SURAT TERBUKA KEPADA RAKAN-RAKAN NON-MUSLIM

Dengan Nama Allah Yang Amat Pemurah lagi Maha Mengasihani

Daripada kami, para pengikut Nabi Muhammad s.a.w. Bahawa Nabi Muhammad itu adalah hamba Allah dan utusan-Nya kepada seluruh manusia di dunia ini. Kepada anda yang dihormati, yang masih lagi belum menganut Islam. Sesungguhnya anda pasti akan selamat, tenang, terhindar dari segala masalah dan sejahtera sekiranya anda menerima Islam dan menjadikan Allah Yang Esa sebagai tempat tumpuan dan pengabdian. Akan bahagialah sesiapa yang mengikut petunjuk Allah. Sesungguhnya kami sebagai pengikut setia Nabi Muhammad dan hamba kepada Allah Yang Esa, yang tiada sekutu dengan-Nya, Tuhan yang tiada dua dan tiga, mengajak anda kepada seruan Islam dan menjadi penganut Islam. Terimalah Islam nescaya anda akan selamat dan nescaya Allah mengurniakan kepada anda gajaran dua kali, maka jika sekiranya anda tidak menerima Islam maka akan terbeban dosa ke atas anda dan juga dosa orang di bawah tanggungjawab anda sebaik sahaja anda meninggalkan dunia atau bila tiba hari pembalasan nanti. Wahai orang mempercayai Bible atau lain-lain kitab, sembahlah Allah, iaitu Tuhan yang tiada isteri dan anak, janganlah menyengutukan-Nya dengan sesuatu yang lain dan janganlah mengambil Tuhan-tuhan yang lain sebagai sembahan selain dari Allah Yang Esa. Sekiranya anda masih enggan menerima Allah sebagai Tuhan anda, maka saksikanlah sesungguhnya kami adalah orang-orang yang menyerah diri kepada Allah Yang Esa, iaitu Islam.

Terima kasih.

kapten_resourses@yahoo.com

KEWAJIPAN MENYAMPAIKAN DAKWAH ISLAM

a. Pendahuluan

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah diutuskan untuk rahmat ke sekalian alam ini, khususnya untuk semua umat manusia tidak kira mereka itu berbangsa, berketurunan atau berwarna kulit, berpangkat dan berdarjat apa sekalipun, tidak kira mereka itu tinggal di daerah geografi mana sekalipun, sama ada di bandar, di pinggir bandar, di kampung atau juga di dalam hutan belantara. Selain rahmat untuk seluruh umat manusia tadi, ia juga meliputi untuk makhluk-makhluk lain seperti binatang, tumbuh-tumbuhan, bukit-bukau, gunung-ganang, daratan dan juga lautan serta segala isi alam ini. Rahmat di sini adalah kasih sayang, iaitu dengan membawa manusia dan segala isi alam seluruhnya berada di bawah rahmat Allah, dan untuk mendapat rahmat yang berpanjangan bagi manusia itu mereka hendaklah menerima hidayah Islam dan beramal dengannya, barulah mereka berada dalam kasih sayang Allah. Justeru itu rahmat ini tidak akan tersebar, atau hidayah dan petunjuk Islam ini tidak akan berkembang sekiranya risalah hidayah ini tidak disambung dari Rasulullah s.a.w dan seterusnya disampaikan kepada seluruh manusia yang menetap di atas permukaan bumi ini. Inilah apa yang dinyatakan sebagai kewajipan menyampaikan dakwah kepada manusia yang masih lagi belum menerima Islam, dan kewajipan serta tanggungjawab ini adalah terpikul ke atas semua yang telah Islam, beriman atau yang terlebih dahulu menerima hidayah ini. Kewajipan menyampaikan Islam terpikul ke atas setiap bahu Muslim.

b. Tujuan dan Kepentingan Dakwah

Tujuan dan kepentingan dakwah ini adalah terangkum serta mencakupi sahutan dan seruan Rasulullah s.a.w agar setiap Muslim menyampaikan daripada Baginda walaupun satu ayat. Mereka tidak boleh berpeluk tubuh, berada di dalam zon selesa sentiasa, dengan kemewahan yang tidak diinfakkan, dengan masa untuk banyak berehat dan menonton atau terbuang begitu sahaja, dengan makan sudah cukup lazat tanpa memikirkan orang-orang yang miskin kelaparan, dengan kediaman yang besar dengan kenderaan yang mewah dan segala-galanya berada di dalam iklim 'aku tak apa dah semua dah ada, semua dah ok.' Tanpa memikirkan tanggungjawab sosial yang lebih besar dari nafsu zon selesanya itu. Ini adalah suatu penyakit yang amat bahaya, penyakit tidak mahu bertanggungjawab, sedang itu adalah tanggungjawabnya sebagi khalifah untuk menyebarkan Islam, agama yang diredhai Allah dan diterima di sisi-Nya. Mereka tidak mahu keluar ke medan perjuangan dan jihad dengan lidah, jihad dengan memberi pelajaran dan pengajaran atau ta'lim. Ia bukan sahaja kerja ustaz-ustaz atau alim ulama' sahaja, bahkan ia merupakan kerja semua Muslim. Ia bukan 'part time job' atau kerja sampingan, tetapi ia merupakan 'full time job' menjadi kerja sepenuh masa atau utama, yang mesti menjadi kerungsingan ummah ini, yang mesti difikirkan, yang mesti diperah otak semaksimum mungkin untuk menjalan kerja dakwah ini, ia mesti diadu dan ditangisi di hadapan Allah, memohon pertolongan, memohon kekuatan, memohon kelapangan, memohon bantuan-Nya agar dilapangkan dan tidak lokek serta kedekut dengan masa, tenaga, wang ringgit, harta benda mahupun nyawa.

c. Kewajipan Berdakwah

Nabi-nabi dahulu, khususnya Nabi Nuh a.s, berdakwah kepada kaumnya siang dan malam tanpa jemu, begitu juga Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat Baginda berdakwah dan menjadikan kerjaya dakwah ini sebagai yang paling aula atau utama. Para sahabat bukan mereka tidak bekerja, bukan mereka tidak berniaga atau menyara keluarga mereka, tetapi yang paling menjadi kerunsingan mereka adalah ummah ini yang masih belum beriman kepada Allah. Anda semua wahai umat Islam mutakkhir ini mesti mengambil tugas ini, tanggungjawab ini, bebanan ini. Ia adalah tugas, tanggungjawab dan beban yang paling mulia sekali di atas permukaan bumi ini, ia adalah warisan dari para Nabi a.s, ia paling dicintai oleh Allah dan Rasul-Nya. Ia adalah merupakan satu hujjah yang cukup mantap di hadapan Allah di hari akhirat nanti.

Cendikiawan ada berpendapat, bahawa kerja anda mengajak orang yang sudah Islam itu bukannya dipanggil sebagai dakwah, tetapi ia adalah dipanggil 'mengislah', iaitu membaiki atau memperelok orang yang sudah Islam supaya mereka sentiasa mentaati Allah dan menjauhkan segala larangan-Nya. Tetapi apa yang dikatakan dakwah itu adalah menyeru dan mengajak orang yang masih belum lagi Islam untuk menganut Islam, untuk menyelamatkan akidah mereka, untuk menyelamatkan cara hidup mereka, supaya dengan itu mereka akan terselamat dari azab Allah di hari akhirat nanti. Kita ummah ini tidak ada kepentingan lain selain daripada ingin mencari keredhaan Allah Taala, bukan kerana untuk dipuji bagus, berani, baik, mujahid atau pejuang Islam, islamik dan sebaginya, kerana semua pujian ini akan menghunjamkan tuannya ke neraka yang amat panas itu.

Justeru itu berapa lama anda sudah Islam, sejak lahir, Islam keturunan, setahun, sepuluh tahun, dua puluh tahun atau tiga puluh tahun dan ke atas ? Apakah sumbangan anda dalam mendakwah orang-orang yang belum Islam? Sejak berapa lama anda terlibat dalam pertubuhan NGO atau pertubuhan Dakwah, dan berapa ramai anda mendakwah dan memperkenalkan Islam kepada orang bukan Islam? Kalau kita yang tidak buat kerja ini, kita hendak harapkan kepada siapa ? kepada pengunjung kelab malam, kepada mat lepak dan mat rempit, kepada mereka yang amat suka berada dalam zon selesa, kepada pelepak-pelepak di kedai-kedai kopi atau di pasaraya, di taman-taman bunga dan tempat rekreasi, kepada ahli dunia yang kerjanya mengejar dunia siang dan malam tanpa mengenal halal dan haram, kepada remaja yang berpeleseran dan berdua-duaan, kepada mereka yang kerjanya mengejar pangkat, kepada ahli-ahli NGO yang matlamat utama NGOnya bukan dakwah untuk non-Muslim, kepada siapa sebenarnya yang anda ingin harapkan memikul tanggungjawab ini ?? Sebenarnya anda yang mempunyai kesedaran tentang dakwah inilah yang wajib memikulnya, wajib memberi masa, wajib memberi tenaga, wang ringgit, hantta nyawa sekalipun jika perlu. Kenapa anda menuding jari orang itu tidak buat kerja dakwah, yang ini pulak lari dari kerja dakwah, yang itu menolak kerja dakwah. Kita harus menerima dengan rela hati dan penuh pengorbanan dan tanggungjawab menerimanya sebagai dai' atau pendakwah, atau sebagai mata rantai yang menyambung kerja dakwah para Nabi a.s.

d. Sasaran Dakwah

Sebenarnya berapa ramaikah kawan-kawan non-Muslim yang anda kenal, sama ada rakan sekuliah, rakan seuniversiti, rakan sepersatuan, rakan sepejabat, rakan seperniagaan, rakan seMLM, jiran setaman dan sekampung tempat tinggal anda, rakan sejalanan, rakan seNGO, berapa kalikah anda berpindah randah dari taman ke taman, bertukar kerja atau bertukar tempat kerana naik pangkat, dan di sana ada rakan anda atau kenalan ada yang non-Muslim, sama ada mereka itu bos anda atau orang bawahan anda, non-Muslim yang mundar mandir di pusat-pusat membeli belah, di taman-taman rekreasi, pelancong yang datang melawat di tempat anda, atau di ibu kota, di tempat-tempat bersejarah, hatta ada juga yang datang melawat masjid-masjid, seperti Masjid Negara, Masjid Putra Jaya atau masjid-masjid negeri. berapa kali anda ajak mereka untuk menerima Islam, kerana dengan Islam mereka akan selamat. Bagaimana sekiranya mereka ini atau kenalan-kenalan yang pernah anda kenali ini mati dan meninggalkan dunia dengan akidah yang kufur. Adakah anda akan dibiarkan tanpa dipersoalkan oleh Allah Taala ataupun bila tiba saat bekas kenalan anda yang non-Muslim ini akan diseret ke neraka, tidakkah mereka akan mendakwa anda, kenapa anda tidak mendakwahnya dan memberitahu ajaran yang sebenar di sisi Allah. Anda harus termenung panjang dalam hal ini. Bukannya termenung bagaimana untuk menlepaskan diri dari kerja dakwah untuk non-Muslim ini. Anda harus mengkodha'kan atau membayar hutang dan kesilapan ini bermula sekarang, makin anda berlengah makin anda akan dibebani dan diperaoalkan nanti di hadapan Allah, percayalah ini bukan angan-angan, buatan, tekaan atau telahan. Tetapi ia adalah rialiti yang mesti diterima dan dipikul bersama dalam satu 'Kelompok Dakwah N0n-Muslim.' Moga Allah memberkati keputusan dan usaha yang amat mulia ini yang bakal diorakkan.

e. Keperluan Pendakwah

Dakwah atau jihad menurut As-syeikh Sai’d Hawwa di dalam tulisannya ‘Jundullah Jihad Fi Sabilillah’ sebenarnya tidak dapat dilakukan kecuali dengan dua perkara, iaitu :
i. Membebaskan dirinya dari mencintai dunia
ii. Mempunyai ilmu

Al-Bazzar meriwayatkan dari Mu’az bin Jabal r.a yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : “Sesungguhnya kamu akan tetap berada di jalan yang sebenar dari Tuhan kamu selama tidak timbul di kalangan kamu dua perkara mabuk, iaitu kejahilan dan sayangkan hidup. Kamu akan terus menyuruh kepada ma’ruf dan melarang dari munkar serta terus berjihad pada jalan Allah. Tetapi apabila timbul pada kamu perasaan sayang dan kasihkan dunia maka kamu tidak lagi menyuruh kepada al-Ma’ruf , mencegah dari al-Munkar dan berjihad pada jalan Allah, di ketika itu jika kedapatan orang-orang yang memperkatakan al-Kitab dan al-Sunnah maka mereka berkedudukan sama seperti generasi pertama Islam yang terdiri dari al-Muhajirin dan al-Ansar.” (Hadith di petik dalam kitab Jundullah)

Ummmah yang melakukan kerja dakwah, khususnya memperkenal Islam kepada non-Muslim adalah tergolong dalam ummah yang terbaik sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud : “ Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegh dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah.” (Surah Ali-‘Imran : 110)

Salah satu amal Ma’ruf yang paling mulia adalah menyampaikan dakwah Islam kepada yang masih lagi bukan Islam, dan mencegah kemunkaran mereka dari terus mengkufuri Allah dan seterusnya hidup dalam kekufuran dan akhir sekali mati juga dalam kekufuran. Jadikanlah tangan kita sebagai tangan-tangan yang menyelamatkan manusia, dan ia merupakan jalan jihad dan dakwah yang terbaik ummah ini. Untuk menjadi tangan penyelamat dari kekufuran dan berdakwah, anda mestilah membebaskan diri dari cintakan dunia dan mengasihi ilmu seta mencarinya.

f. Merealisasikan Dakwah

Dakwah untuk non-Muslim ini mempunyai pelbagai metod dan cara yang berkesan. Semoga Allah memberkatinya usaha ini. Usaha ini pernah dilakari oleh pejuang-pejuang dan pendakwah yang terdahulu, antara yang sesuai dan praktikal di Malaysia pada hari ini ialah dakwah dengan lisan dan ta’lim, contohnya seperti menyebarkan al-Qur’an terjemahan sepenuhnya tanpa ada ayat-ayat suci dalam bahasa Arab, pamplet, surat seruan untuk menganut Islam sebagaimana yang pernah Rasulullah utuskan untuk Raja-raja sezaman dengan Baginda, risalah-risalah kecil dan ringkas, buku-buku agama yang difikirkan sesuai untuk non-Muslim tersebut dan juga majalah-majalah. Sebaran bahan-bahan yang dinyatakan di atas boleh dilakukan di pusat membeli belah, di kawasan tumpuan pelancong asing dan orang ramai atau seumpamanya. Di samping itu dakwah secara individu, ziarah, kunjungan dan majlis ilmu, mengadakan perjumpaan dan majlis dialog dengan non-Muslim juga perlu dilakukan.

Bagi yang mempunyai kuasa politik atau pemerintah, cara yang terbaik adalah dengan menjemput mereka kepada Islam dan memberi kefahaman kepada mereka, apakah kelebihan dan keistimewaan yang mereka dapat sekiranya mereka menerima Islam, ikutilah apa yang pernah Rasulullah s.a.w lakukan semasa Baginda memerintah Madinah, orang bukan Islam berbondong-bondong datang menerima Islam. Tetapi pemerintah sekarang tidak serius dalam melakukan tugas ini, sedangkan inilah antara tugas utama setiap pemimpin negara. Kita ada ramai ulama’, mereka boleh memberi sumbangan dan pendapat yang terbaik untuk dakwah ini. Dan untuk gerakan politik Islam seperti PAS, gunakan peluang yan ada, ahli sekutu atau kelab penyokong PAS yang non-Muslim, gunakan metod yang terbaik untuk mendakwah mereka agar mereka menerima Islam dan menjadi Muslim. Ini adalah tugas yang besar dan perlu dilakukan seberapa segera dan sebaik mungkin.

Bila mereka memeluk Islam, tugas dai’ ini makin bertambah iaitu dengan menyediakan mereka pendidikan Islam yang sebaik mungkin, seperti mendirikan tempat pengajian bagi mereka menimba ilmu Islam, agar mereka tidak hilang arah dan kembali kepada agama asal mereka, iaitu murtad. Ambil pedulikan urusan mereka, keluarga mereka, kebajikan mereka, kehidupan mereka dan santunilah mereka sebaik mungkin.

g. Pengorbanan dan Jihad Harta Benda

Untuk melaksanakan tugas dan dakwah ini, kita amat memerlukan agar setiap individu, masyarakat, pertubuhan atau siapa sahaja berkorban dari segi wang ringgit dan harta benda mereka. Ia merupakan syarat dan pelengkap dalam menjalankan kerja dakwah ini. Dakwah ini tidak dapat ditegakkan dan digerakkan kecuali dengan harta benda dan wang ringit untuk membiayai pembelian al-Quran terjemahan, mencetak pamphlet, risalah kecil, majalah dan lain-lain keperluan semasa menjalankan dakwah ini.

As-Syeikh Sa’id Hawwa mengatakan bahawa sesungguhnya jihad dan dakwah yang tidak disokong dengan harta akan gagal. Oleh sebab itulah Allah menyebutkan jihad dan pengorbanan harta serta jihad diri sekaligus tanpa terpisah. Firman Allah Taala yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah telah membeli daripada diri orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. (Surah At-Taubah : ayat 111)

Orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah diberi pahala yang besar di sisi-Nya. Diriwayatkan oleh At-Tarmizi dan An-Nasa’i bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda : “Sesiapa yang membelanjakan sesuatu perbelanjaan pada jalan Allah, ditulis baginya sehingga tujuh ratus kali ganda.”

Diriwayatkan oleh Imam Muslim dan An-Nasa’i, daripada Abi Sa’id yang berkata bahawa seorang lelaki telah datang membawa seekor unta yang bertali hidung kepada Nabi Muhammad s.a.w dengan mengatakan : “Ini adalah untuk jalan Allah.” Sabda Nabi s.a.w:
“Dengan unta itu diberi ganjaran tujuh ratus ekor unta pada hari kiamat berserta tali hidungnya.”

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud : “ Harta kamu adalah apa yang telah kamu guna dan belanjakan, sementara yang kamu tinggal itu adalah untuk orang selepas kamu.” (Riwayat al-Bukhari)

Dan mafhum sabda Nabi s.a.w lagi : “Apabila matinya anak Adam, maka terputuslah segala amalannya, kecuali tiga perkara……(salah satu daripadanya ialah) sedekah jariah.”

h. Kedudukan Pendakwah Di Dalam Islam

As-Syeikh Dr. ‘Abdul Karem Zaidan di dalam kitabnya Usul Da’wah berpandapat bahawa kedudukan pendakwah ataupun juru dakwah di dalam agama sangat penting sekali. Allah Taala berfirman bahawa berdakwah adalah sebaik-baik perkataan. Di dalam al-Qur’an Surah Fussilat ayat 33 yang bermaksud : “Siapakah yang terlebih baik perkataannya dari orang yang menyeru kepada Allah (agama-Nya) serta beramal soleh, seraya berkata saya adalah seorang Muslim.”

Ayat di atas menurut para ahli tafsir berlaku umum untuk semua orang yang menyeru ke jalan Allah, sedang dia sendiri telah mendapat petunjuk untuk berbuat kebaikan dalam melaksanakan yang diwajib dan menjauhkan diri dari yang diharamkan (Tafsir Ibnu Kathir IV/100)

Setiap juru dakwah mendapat pahala yang besar di sisi Allah. Rasulullah s.a.w bersabda : “Barangsiapa menyeru kepada petunjuk maka dia mendapat pahala seperti pahala-pahala yang didapat oleh orang-orang yang mengikutinya, tidak berkurang sesuatu apapun.”

Di dalam sebuah hadith lain lagi yang pernah diucapkan oleh Rasulullah s.a.w kepada ‘Ali bin Abi Talib r.a yang bermaksud : “Demi Allah, Allah telah memberi petunjuk dengan perantaraanmu seorang laki-laki lebih baik bagimu dari unta yang berwarna merah.”

Dan diterangkan lagi di dalam hadith lain yang bermaksud : “Barang siapa yang menunjuki kepada kebaikan, maka baginya pahala seperti pahala orang yang memperbuatnya.” (Lihat Usul Da’wah, hlm. 30 dan 31).

i. Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya hayati dan taatilah firman Allah Taala yang bermaksud :
a. “Hendaklah ada di antara kamu ummah yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh memperbuat kebajikan, melarang daripada kejahatan, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan.” (Surah Ali ‘Imran ayat 104).

b. “Suruhlah orang memperbuat yang makruf, dan laranglah dia dari memperbuat yang munkar, serta sabarlah atas cubaan yang menimpa engkau. Sesungguhnya yang demikian itu suatu urusan yang disuruh Tuhan.” (Surah Lukman ayat 17).

TRANSLATOR

Powered By google