“PERANAN DAN CABARAN PELAJAR SERTA IBU BAPA DALAM PEMBINAAN MASYARAKAT MUSLIM”

KERTAS KERJA
“PERANAN DAN CABARAN PELAJAR SERTA IBU BAPA DALAM PEMBINAAN MASYARAKAT MUSLIM”
OLEH : KAPTEN (B) HJ MOHD RAPI B. HJ MOH NOR

Pengenalan

Setiap makhluk yang diciptakan oleh Allah Taala di atas planet bumi ini mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam membina masyarakat Muslim, yakni masyarakat yang tunduk dan patuh kepada ketetapan Allah sepenuhnya. dalam pelbagai suasana dan iklim kehidupan atau di ketika mana sekalipun. Justeru itu manusia selaku khalifah Allah mempunyai kewajipan melaknanakan amanah yang dipertanggungjawabkan, baik mereka itu bergelar pelajar, ibu bapa, mahupun pemimpin. Jadi dalam misi melaksanakan amanah, tanggungjawab dan peranan ini, mereka bakal berdepan dengan pelbagai cabaran mengikut skop dan bidang tugas masing-masing. Untuk melaksanakan peranan dan menyelesaikan cabaran yang timbul manusia tidak boleh mencari dan lari daripada ketetapan kerangka Islam berdasarkan al-Qur’an dan al-Hadith. Bila Islam menjadi panduan kehidupan pelajar dalam mengejar kejayaan yang diimpi dan dicita-citakan serta menjadi penawar bagi ibu bapa mendidik anak-anak dalam mencari redha Ilahi, maka sudah tentu ianya bakal melahirkan sebuah masyarakat Muslim yang sejati.


Ta’rif

a) Pelajar : Kumpulan Individu yang sedang melalui proses pembelajaran sama ada secara formal atau pun tidak, sama ada di peringkat pra-sekolah, sekolah rendah dan menengah, kolej, universiti, pondok atau madrasah, dan mana-mana institusi pendidikan

b) Ibu bapa sebagai pemimpin : kepimpinan ibu bapa dalam keluarga mampu mempengaruhi orang di bawah tanggungannya untuk mencapai sesuatu matlamat. Mereka juga mestilah mempunyai kebolehan membuat keputusan dan membawa keluarganya bersama mencari keredhaan Allah dengan cara mendidik, memberi jalan (memilih pusat pendidikan) dan mendorong anak-anak serta isteri ke arah manhaj Islam.

Abdullah b. Umar RA berkata, “aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : kamu semua adalah pemimpin dan bertanggungjawab atas apa yang kamu pimpin. Pemimpin masyarakat adalah pemimpin dan bertanggungjawab ke atas rakyatnya, suami adalah pemimpin ke atas isterinya dan bertanggungjawab ke atas isterinya. Isteri adalah pemimpin di rumah suaminya dan bertanggungjawab atas rumah suaminya. Pembantu adalah pemimpin atas harta tuannya dan bertanggungjawab atas harta tuannya. Kamu semua adalah pemimpin dan bertanggungjawab atas apa yang kamu pimpin.”
(HR Bukhari )

c) Masyarakat muslim: Individu yang membentuk kumpulan masyarakat yang beridentitikan agama, iman dan akidah (berkeyakinan penuh kepada kebenaran Islam) (‘Abdullah Al-Khatib, 2006). Mereka tunduk dan patuh kepada Pencipta, yakni Allah, baik dari segi akidah, ibadah dan akhlak.


Cabaran dan Realiti Dunia Akhir Zaman

Tiada sesiapa pun boleh menyangkal hakikat kebejatan sosial yang kini kian membarah dalam masyarakat. Tidak kira di mana sahaja, sama ada bandar, kampung atau felda masing-masing bersaing menempatkan diri dalam carta gejala sosial masa kini. Di media eletronik dan cetak setiap hari menyajikan penonton dan pembacanya dengan pelbagai isu terkini mengenai keruntuhan akhlak dan kes-kes jenayah yang berpunca daripada kemerosotan didikan agama dalam diri anak-anak remaja kini. Kes bunuh, rogol, zina, sumbang mahram, rempit, samun, pukul, kaki buli, penipuan, ragut dan pelbagai lagi jenayah yang sering didengari hasil daripada hilangnya agama dalam diri anak-anak yang sepatutnya menjadi tanggungjawab ibu dan bapa sebagai pemimpin. Kemuncak kebobrokan akhlak ini adalah gejala murtad yang kini menunjukkan angka yang semakin meningkat saban tahun.Menurut sumber Jabatan Pendaftaran Negara, daripada tahun 1999 sehingga Julai 2003 sebanyak 750 permohonan pertukaran nama Islam kepada nama bukan Islam. Daripada jumlah ini, sebanyak 220 permohonan diluluskan kerana cukup syarat.(Ann Wan Seng, 2009).. Maka berjayalah rancangan kafir laknatullah dalam misi mencabut iman dalam diri anak-anak Islam. Begitu banyak cabaran dan halangan yang terpaksa ibu bapa tempuhi dalam usaha membina institusi keluarga yang bebas daripada jangkitan keruntuhan akhlak dan moral.


Peranan dan Tanggungjawab Para Pelajar

Di antara peranan dan tanggungjawab para pelajar adalah :

1. Para pelajar hendaklah menjaga hubungan ketaatan dengan Allah dan juga hubungan baik sesama manusia, atau dengan kata lain ‘hablumminallah wa hablumminannas.’

a) ‘Hablumminallah’, iaitu hubungan dengan Allah atau mentaati Allah di setiap masa, keadaan dan tempat :

i. Tidak meninggalkan solat lima waktu atau lain-lain amalan wajib
ii. Menambah dengan amalan sunat :
§ Solat Sunat Dhuha
§ Solat Sunat hajat dan Solat Sunat Tahajjud
§ Puasa setiap hari Isnin dan Khamis
§ Membaca al-Qur’an

iii. Segala masalah hendaklah diadukan kepada Allah/ditangisi di dalam doa selepas solat
iv. Meninggalkan dari melakukan dosa yang berterusan terhadap Allah, bagi mengundang kasih sayang dan mengelak dari kemurkaanNya

b) ‘Hablumminannas’, iaitu hubungan dengan manusia atau dengan kata lain rmelakukan hubungan baik sesama mereka di sekeliling kita

i. Para pelajar atau anak-anak wajib mentaati ibu bapa. Mereka adalah manusia atau orang yang paling rapat dan paling banyak berjasa kepada anak-anak atau para pelajar. Menderhakai Ibu bapa adalah merupakan antara dosa yang besar

Firman Allah SWT, “Dan Tuhan kamu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa kamu dengan sebaiknya. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sampai umur lanjut dalam pemeliharaan kamu, maka sesekali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “aah” dan janganlah kamu membentak mereka, dan ucapkanlah kepada mereka dengan perkataan yang mulia.”
[Al-Isra’: 23]

Sabda Rasulullah SAW, “Mahukah kamu sekalian aku khabarkan dosa-dosa besar yang paling besar? Ia adalah menyekutukan Allah dan menderhakai kedua ibu bapa.”
[H.R. Bukhari & Muslim]



Beberapa kisah sebagai pengajaran :

a) Kisah Juraij yang diuji Allah dengan difitnah melakukan zina terhadap wanita kerana tidak menyahut panggilan ibunya.
b) Kisah Alqamah yang tidak dapat mengucap dua kalimah syahadah di saat ingin meninggal dunia, kerana lebih menyayangi isteri daripada ibunya

ii. para pelajar atau anak-anak hendaklah tidak memasuki bilik tidur ibu bapanya sebelum mendapat izin dari kedua orang tuanya dan jangan keluar masuk sesuka hati dan bermain-main, supaya apabila si ayah ingin berehat, dia boleh berehat dengan suasana tenteram tanpa gangguan. Anak-anak perlu melatih diri supaya meminta izin terlebih dahulu sebelum masuk ke bilik ibu dan ayahnya.

iii. para pelajar hendaklah mewujudkan suasana kasih sayang dan hormat menghormati sesama adik beradik, besar atau kecil serta mempunyai sifat mahmudah iaitu sifat-sifat yang terpuji dan menjauhi sifat-sifat mazmumah.

iv. Hubungan dengan guru, iaitu :
a) Memberi tumpuan semasa guru mengajar
b) Menghayati adab dan akhlak dengan guru seperti bercakap dengan sopan dan merendahkan suara
c) Sentiasa mengharapkan redha dan restu daripada guru
d) Tidak bersangka buruk dengan guru
e) Sentiasa mendoakan guru

v. Hubungan dengan kawan atau rakan sebaya, iaitu :
a) Tidak menyakiti hati kawan-kawan
b) Sentiasa menolong kawan-kawan
c) Tidak hasad dengki dan sentiasa bersangka baik

vi. Para pelajar hendaklah menjauhi pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan baik di sekolah, di luar rumah mahupun semasa tetamu ke rumah pelajar atau rumah emak dan ayahnya. Islam menganjurkan setiap umatnya memuliakan tetamu dengan menjaga batas-batas yang sudah ditetapkan syariat.

vii. Pelajar perempuan tidak boleh bersalaman dengan tetamu atau kawan lelaki yang datang bertandang, tidak boleh bebas keluar masuk atau berlegar-legar melayani tetamu dengan mendedahkan aurat, walaupun dalam rumah sendiri. Para pelajar hendaklah memahami mana saudara atau tetamu yang boleh mereka salami, contohnya sepupu tidak sama dengan adik-beradik, ibu atau bapa saudara sabit tidak sama dengan ibu bapa saudara. Ini asas agama yang ditetapkan demi menjaga maruah dan kemaslahatan.

viii. Menyedari siapakan diri pelajar itu sendiri, perit jerih keluarga atau ibu bapa mencari nafkah bagi menyekolahkannya atau menghayati pengorbanan ibu bapa mereka selama ini dan seumpamannya.


Peranan Ibu Bapa: Asas pembinaan masyarakat muslim

Allah SWT berfirman : “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” [At-Tahrim :6]

Di antara peranan ibu bapa adalah :

1. Memberi nama yang baik untuk anak-anak. Bukan memilih nama yang sedap bunyinya tetapi tiada maksud, bahkan mempunyai maksud yang buruk dan hina.

2. Mendidik anak-anak seperti yang diajar oleh Luqman di dalam al-Qur’an :

a) Jangan mensyirikkan Allah, atau dengan kata lain mendidk anak untuk mengenali Allah yang Maha Esa.

Firman Allah Taala yang bermaksud : “(Perhatikanlah) ketika berkata Luqman kepada anaknya, sedang dia memeberi pengajaran kepadanya, (katanya) : Wahai anakku ! Janganlah engkau menyegutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan itu adalah kezaliman yang besar.” (Surah Luqman, ayat 13)

b) Memberi peringatan tentang baik dan buruk atau dosa dan pahala

Firman Allah Taala yang bermaksud : “Wahai anakku ! Sesungguhnya jika ada amalan engkau (baik atau buruk) seeberat biji sawi yang tersembunyi di dalam batu atau di langit atau di bumi, nescaya diidatangkan (dibalas) Allah juga. Sesungguhnya Allah Maha Pelembut lagi Maha Mengetahui.” (Surah Luqman, ayat 16)

c) Menyuruh anak-anak mendirikan solat. Melatih anak-anak supaya mendirikan solat dan sebaik-baiknya hendaklah berjemaah bersama-sama ibu bapa. Solat adalah kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan dalam suasana dan keadaan apapun.

Sabda Rasulullah yang bermaksud : “Perintahkanlah anak-anak kalian untuk bersolat ketika mereka berumur tujuh tahun. Pukullah mereka jika meninggalkannya ketika mereka berumur 10 tahun, dan pisahlah tempat tidur di antara mereka.” (Hadith Riwayat Ibn abi Syaibah, abu dawud, Imam ahmad dll).

d) Membimbing dan melatih anak untuk menjadi dai’e, iaitu menyeru manusia kepada ma’ruf dan mencegah dari kemungkaran.

e) Mengajar anak supaya bersabar apabila bala dan cubaan yang datang menimpanya

Firman Allah yang bermaksud : “Wahai anakku ! Dirikanlah solat, dan suruhlah manusia (membuat) yang ma’ruf (yang baik), dan laranglah (memperbuat) yang munkar (haram), serta sabarlah atas cubaan yang menimpa engkau. Sesungguhnya yang denikian pekerjaan yang dicita-citakan.” (Surah Luqman, ayat 17)

f) Mendidik akhlak anak-anak supaya tidak sombong, bermegah-megah dan gembira bersangatan (lupa diri)

Firman Allah Taala yang bermaksud : “Janganlah engkau palingkan pipi (muka) engkau terhadap manusia (kerana sombong), dan jangan berjalan di muka bumi dengan sangat gembira. Sesungguhnya Allah tidak mengasihi tiap-tiap orang yang sombong lagi bermegah-megah.” (Surah Luqman, ayat 18).

g) Mendidik anak-anak supaya berjalan dan hidup dalam suasana sederhana serta bercakap sopan.

Firman Allah Taala : “Dan sederhanalah dalam perjalanan engkau dan lunakkanlah suara engkau. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara himar (keldai).” (Surah Luqman, ayat 19)

Memberi didikan agama dan akhlak Islamiah kepada anak-anak adalah suatu perkara yang wajib ke atas ibu bapa. Sekiranya ibu bapa mengabaikannya maka mereka akan menanggung dosa sepanjang hayat dan sampailah ke hari akhirat. Anak-anak bagaikan kain putih yang boleh dicorakkan ke arah mana yang diinginkan oleh penjaganya.

Rasulullah s.a.w bersabda “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, Maka kedua ibu bapalah yang bertanggungjawab menjadikan anak iitu Yahudi, Nasrani mahupun Majusi.”
[H.R Al-Bukhari]

Berilah didikan agama dan akhlak kepada mereka sebaik mungkin. Pada zaman pemerintahan Saidina Umar r.a, Baginda memarahi ayah yang tidak memilih isteri yang baik keturunannya, menamakan anak dengan nama yang tidak baik serta tidak mengajar anak dengan al-Quran (didikan agama).

Menurut Dr. Fathi Yakan, perkara pertama yang dapat menjamin terlaksananya tarbiyyah Islamiyah terhadap anak-anak ialah pasangan ibu bapa hendaklah orang yang ambil peduli tentang agama. Dengan ini akan melahirkan generasi soleh sebagai penyambung dan pewaris kepada generasi yang akan datang dan ibu bapa akan mendapat saham serta pahala yang terus menerus di hari akhirat nanti.

Anak-anak yang soleh akan muncul bermula dengan kesolehahan ibu dan bapa kerana keduanya merupakan pencorak kepada peribadi-peribadi ini sedari daripada kecil berterusan sehingga dewasa. Untuk mendapat keluarga yang terselamat daripada seksa neraka.

3. Tidak membiarkan anak-anak, khususnya perempuan berhias dengan ‘hisan jahiliah’

4. Mengajar anak-anak supaya menutup aurat sejak dari kecil lagi. Umpamanya anak laki-laki jangan mengajar dia memakai seluar pendek sebaik sahaja dia mumayyiz, dan mengenakan tudung kepala sebaik sahaja anak-anak perempuan kita juga mumayyiz (dapat membezakan yang baik dengan yang buruk secara simple)

Firman Allah Taala yang bermaksud : “katakanlah kepada wanita yang beriman : Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup dada mereka, dan janganlah memperlihatkan perhiasannya......”
(Surah An-Nur, ayat 31)

5. Memastikan anak-anak kita memilih kawan-kawan yang soleh dan solehah. Kata hukama’ : ‘Sekiranya anda ingin mengenali seseorang lihatlah kepada kawannya.”

6. Mencari nafkah dengan cara yang halal, bersih dan tidak membawa apa-apa kemudharatan kepada orang lain. Nafkah dan rezeki yang dicari untuk menampung keperluan keluarga adalah dalam keadaan suci dan bersih dari riba dan rasuah, tidak melalaikan tugas terhadap Allah serta tidak meninggalkan nilai-nilai yang luhur.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Setiap daging yang tumbuh daripada hasil yang haram, maka nerakalah yang lebih sesuai untuknya.” [H.R At-Tirmidzi]

7. Bapa perlu menyediakan rumah seeloknya mengandungi bilik-bilik yang dikhaskan sebagai tempat tidur ibu bapa, anak perempuan dan anak lelaki. Anak-anak mesti tidur berasingan daripada ibu bapanya. Anak lelaki perlu tidur berasingan dengan anak perempuan dan Islam menetapkan kanak-kanak yang sudah mencapai umur 10 tahun mesti dipisahkan dari tempat tidur ibu bapa dan antara sesama adik-beradiknya.
8. Mengahwinkan anak-anak bila sampai masanya, khususnya anak perempuan. Ibu bapa sayugia tidak membiarkan anak-anak menentukan jodohnya sendiri. Ibu bapa sebagai ketua keluarga hendaklah memandu anak-anak untuk mencari pasangan yang terbaik untuk kebahagiaannya hingga akhirat, sesuai dengan matlamat pekahwinan iaitu untuk mencari kebahagiaan yang hakiki.

Firman Allah yang bermaksud, “dan di antara tanda-tanda membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya.” [Ar-Rum: 21]

Beberapa Petikan Hadith Mengenai Pengorbanan Ibu

1. Apabila anak yang lahir disusui, setiap teguk susunya itu akan diberi satu kebajikan.

2. Apabila semalaman si ibu tidak tidur kerana menjaga anaknya yang sakit, Allah akan memberinya pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah Taala.

3. Tiap-tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah akan memasukkan dia di dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun lebih awal)


Penutup

Aspek pembinaan institusi keluarga sesungguhnya merupakan isu yang melibatkan hampir setiap individu yang telah berumah tangga. Masalah kekeluargaan khususnya cabaran dan peranan dalam mendidik anak-anak adalah merupakan perkara yang amat penting dalam kehidupan berkeluarga. Oleh kerana itu, institusi kekeluargaan merupakan unit yang terkecil bagi sesebuah negara dan ummah. Jika keluarga itu kuat, maka kuatlah negara dan ummah. Sebagaimana kata-kata hukama’, “Binalah kerajaan Islam di dalam diri sendiri, sebelum anda membina kerajaan Islam di dalam keluarga. Binalah kerajaan Islam dalam keluarga, sebelum anda membina kerajaan Islam di dalam masyarakat.”

Ibu bapa selaku pemimpin mestilah menyedari sebenar-benarnya bahawa tugas mendidik dan mentarbiyah anak-anak dengan didikan agama dan akhlak Islam adalah merupakan tugas murni yang amat dituntut dan ianya merupakan salah satu ibadat yang tinggi dan mulia di sisi Allah SWT.


Rujukan :

Al-Quran al-Karim

Ann Wan Seng, Murtad Jangan Pandang Sebelah Mata, 2009, Selangor, Must Read Sdn Bhd.

Burhanuddin Abdul Jalal et. al. Keluarga Muslim. 1995, Kuala Lumpur, Kementerian Pertahanan Malaysia.

Dr.Fathi Yakan. Apa Ertinya Saya Menganut Islam? 2000, Selangor, Pustaka Salam Sdn Bhd.

Imam Az- Zahabi, Terj. Dr. Mohammad Amad Adly MA. Dosa-dosa Besar. 2008, Selangor, Berlian Publication Sdn Bhd.

Nik Nur Madihah & Ummu Hani Abu Hassan, Catatan Hati Nik Nur Madihah. 2009, Selangor, Hijjaz Records Publishing.

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat & Hasmariza Md Hashim. Bunga Kebahagiaan. 2007, Selangor, Anbakri Publika Sdn Bhd.

0 comments:

TRANSLATOR

Powered By google