Dahulu para Nabi a.s berjihad dan berhadapan dengan massa atau umat masing-masing, dengan penguasa yang amat zalim, penguasa yang mengaku jadi tuhan, penguasa yang amat goblok. Para Nabi mempunyai pengikut yang setia, juga mempunyai penentang yang kufur dan amat zalim, namun mereka tetap bersabar meneruskan misi dakwah dan jihad, dengan matlamat yang cukup ampuh iaitu menang atau syahid.
Nabi Nuh a.s berjuang siang dan malam, mengajak kaumnya menyembah Allah Yang Esa. Bukan sahaja tolakan yang diterimanya, malah mereka menutup telinga dan berselubung tidak mahu mendengar seruan tauhid. Anak dan isterinya sendiri yang menolak seruan suci ini, lalu mereka dihukum oleh Allah. Juga Nabi Ibrahim a.s berhadapan dengan Raja Namrud, seorang penguasa yang zalim, begitu juga ayahnya yang menjadi penyembah berhala. Nabi Zakaria a.s juga diburu oleh kaumnya sendiri sehingga digergaji tubuhnya dan menemui syahid. Nabi Musa a.s berhadapan dengan Firaun yang mengaku menjadi tuhan, diburu oleh Firaun dan tentera-tenteranya, namun Allah memberi jalan keluar kepada Nabi Musa a.s, dan juga Nabi Muhammad s.a.w, yang menjadi penentang Baginda ialah kaumnya sendiri, diketui oleh bapa saudaranya Abu Jahal.
Inilah lumrah jihad dan perjuangan yang telah ditetapkan oleh Allah, sejak dahulu sehinggalah sekarang, yang menjadi lawannya adalah orang sebangsa dengannya, orang sebahasa dengannya, orang sesama warna kulit dengannya, orang senegara dengannya, orang senegeri dengannya, orang sedaerah dengannya, orang sekampung dengannya atau orang setaman dengannya.
Apakah Allah itu ingin menzalimi manusia, dengan mewujudkan suasana pertentangan dan pertembungan sesama mereka atau ingin menghuru-harakan masyarakat setempat ? Allah tidak sekali-kali menzalimi hambanya. Allah membangkitkan para Rasul a.s. untuk menyampaikan dakwah di kalangan kaumnya, lalu mereka ditentang, maka berlakulah pertembungan antara golongan hak dengan dengan yang batil dan wujudlah peranan jihad mempertahankan kebenaran. Dan tidak timbul persoalan pertembungan sekiranya mereka menerima seruan Tauhid tadi, tetapi golongan ‘munkirin’ ini sengaja menolak kebenaran dan memerangi orang yang membawa akidah tauhid ini, lalu di sana lahirlah jihad mempertahankan kebenaran Agama Allah yang suci dan murni ini, lalu berlakulah pertentangan dalam negara, negeri, daerah, kampung dan penempatan. Inilah lumrah medan dakwah dan jihad yang direncanakan oleh Allah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Adil.
Dan semasa pemerintahan Saidina Umar r.a khususnya, musuh sekitar telah dapat ditundukkan dengan kekentalan semangat jihad tentera muslim, iaitu dengan satu misi, menang atau syahid, lalu tumbangnya empayar Rom dan Parsi yang dianggap kuat itu dengan izin Allah. Dakwah dan jihad menegakkan kebenaran agama Allah ini diteruskan semasa pemerintahan Khilafah Umaiyyah dan juga Khilafah Abbasiah sehingga penguasaan ajaran tauhid ini melangkau dari timur ke barat dengan ketekunan, kesungguhan, ketaqwaan, keikhlasan jihad para pemimpin Islam dan pejuang di sekelilingnya. Inilah kehebatan, kekentalan, kesufian mujahid menongkah arus perjuangan bagi menyebar luas ajaran tauhid. Besarnya peranan dan perjuangan mereka, keajaiban jihad ini sukar ditandingi oleh ummah ini kecuali yang benar-benar ikhlas dan taqwa kepada Allah.
Lihatlah betapa bermaruahnya Mu’tasim, seorang pemimpin Islam pada zaman Khilafah Abbasiah, walau beliau dianggap lemah, namun bila beliau mendapat tahu seorang muslimah telah disentap tudung, sebagai satu penghinaan terhadap Islam dan ummahnya, maka baginda mengarahkan tenteranya melanggar dan menuntut bela di atas penghinaan itu. Betapa mulia, ‘izzahnya ummah Islam dahulu, mereka berlindung dan berpayung di bawah pemimpin yang mempunyai jati diri, sanggup berjihad dan menggunakan kekuatan tentera mempertahankan maruah dan kebenaran Agama Allah daripada dicalari dan dicemari atau dipermain-mainkan oleh musuh-musuh Islam.
Dan sekarang para muslimah bukan lagi disentap tudung, tetapi lebih dari itu, akidah mereka ditelanjangi, akhlak mereka dibaratkan dan agama mereka dimurtadkan. Namun di manakah Mu’tasim zaman ini, tidak ada lagi Mu’tasim, yang ada hanyalah tikus-tikus, menjadi bacul dan penakut. Hilang sudah semangat jihad, luntur sudah maruah sebagai seorang pemimpin muslim, hilang sudah keberanian jihad ummah ini, mereka ditakutkan oleh musuh-musuh Allah dengan ugutan dan ancaman.
Bilakah akan ada orang seperti Umar r.a, atau sekurang-kurangnya orang seperti Mu’tasim, bilakah akan lahir Salahuddin al-Ayyubi moden yang berjaya membuka kota Baitumaqdis dari cengkaman kuffar dan bilakah akan lahir lagi orang seperti Sultan Muhammad al-Fateh yang berjaya menakluk konstantinople ? Masih adakah pemimpin yang soleh, lagi ikhlas mampu melakar peta dan sejarah menghidup dan menyambung Khilafah Othmaniah yang dikhianati oleh Ataturk ? Moga Allah yang Agung kekuasaan-Nya mengembalikan ummah ini kepada Khilafah Baru. Khilafah ini amat dirindui oleh mujahid-mujahid, agar nur Islam kembali bersinar dan menguasai dunia sekali lagi dengan izin-Nya.
0 comments:
Post a Comment